Tuesday, February 17, 2009

Pilihan raya serentak di tiga Bukit?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan serentak dengan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau pada 7 April ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berikutan itu pihaknya kini sedang menunggu laporan rasmi Pengarah SPR Selangor berhubung peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Kata Abdul Aziz, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat rasmi berhubung peletakan jawatan Elizabeth yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

Jelas beliau, pada dasarnya SPR tiada masalah mengadakan pilihan raya kecil serentak di ketiga-tiga kerusi itu pada 7 April ini.

"Sehingga saat ini saya belum dapat maklumat rasmi, cuma khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kawan-kawan yang menyatakan wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meletakkan jawatan selaku Exco dan ADUN. Prosedurnya, bagi jawatan Exco beliau kena maklumkan kepada Menteri Besar dan bagi ADUN Bukit Lanjan dia kena maklumkan dan tulis surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri. Speaker akan maklumkan kepada SPR," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat SPR yang Ke-690 di Palm Resorts di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Elizabeth menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran penyebaran gambar bogelnya di Internet.

Pilihan raya Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan penyandangnya, Roslan Shahrum daripada Pas meninggal dunia awal 9 Februari lalu.

Kerusi DUN Bukit Selambau pula dikosongkan wakil rakyatnya, V. Arumugam daripada PKR yang meletakkan jawatan pada hari yang sama.

Tambah Abdul Aziz, bagi kerusi DUN Bukit Lanjan, pihaknya sedang meneliti semua aspek dengan mengikut peruntukan undang-undang yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu.

"Kalau semua dokumen dan aspek-aspek yang ditetapkan dipatuhi, kita SPR tiada masalah untuk mengadakan tiga pilihan raya kecil tersebut pada 7 April ini," katanya.

Beliau menjelaskan, tarikh 7 April ditentukan oleh SPR untuk hari pembuangan undi dalam pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau tanpa didorong mana-mana parti yang bertanding.

"Bagi kami setiap parti adalah pelangggan. Parti-parti itu harus dilayan seadil-adilnya dengan harapan mereka puas hati dengan apa yang dilaksanakan SPR," katanya.

Abdul Aziz memberitahu, SPR memperuntukkan RM1 juta, iaitu masing masing RM600,000 dan RM400,000 untuk pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. Beliau mahu Pengarah SPR Perak dan Kedah mencontohi Pilihan Raya Kuala Terengganu baru-baru ini yang disifatkan terbaik, bersih dan aman serta mendapat pujian Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment