Monday, March 30, 2009

Pas Khianati Perjuangan Islam

Untuk mendapatkan kuasa, Pas sanggup menggugurkan penubuhan negara Islam Pas. Pas sanggup berkompromi ataupun bekerjasama dengan DAP dan PKR dengan memperjudikan prinsip perjuangan, semata-mata untuk dapat merasai kerusi empuk Yang Berhormat ataupun Menteri Besar.

Merasa tidak bersalah mengata UMNO dan orang-orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan parti komponen terbesar BN iaitu MCA dan MIC, tetapi pada masa yang sama apabila mereka bekerjasama dengan DAP dan PKR semuanya menjadi “ halal “. Dengan kata lain menghalalkan apa yang mereka haramkan sebelum ini. Bagi Pas, UMNO itu terlalu keji manakala DAP dan PKR adalah terlalu baik bagi mereka.

Sudah siang lagi bersuluh. Itulah rasa-rasanya kata-kata perumpamaan yang tepat digunakan untuk Pas ketika ini. Adakah Pas sedar akan kehadiran mereka untuk menceriakan Pakatan Rakyat sebenarnya telah menimbulkan kesangsian dikalangan ahli penyokong Pas itu sendiri.

Siapakah yang membenarkan penggabungan itu sehingga menyebabkan Pas kini hilang cengkamam dalam usaha menubuhkan Negara Islam Pas. Adakah arahan dari Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi ataupun Tuan Guru Nik Aziz? Siapakah " Nakhoda Bahtera" Pas sekarang? Bukankah ketaatan kepada pemimpin khususnya kepada Sultan merupakan salah satu ajaran Islam? Mengapa penyokong-penyokong Pas menjadi biadap terhadap Sultan?

Adakah Pas sedar yang Karpal Singh telah berjaya menguji kekuatan dan ketaatan Pas kepada ajaran Islam. Adakah Pas sedar ini adalah perancangan yang licik oleh Karpal Singh dan rakan-rakan dalam DAP untuk menguji kesetiaan orang melayu kepada Sultan dan Raja-raja mereka.

Pada pemikiran Karpal Singh, Pas hanya mementingkan kuasa pemerintahan berbandingkan agamanya dan Pas boleh pada bila-bila masa saja dijadikan budak suruhan dalam menjayakan agenda DAP. Apabila ditegur, Pas akan cepat melenting sambil mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa akhbar atau media massa yang lain cuba memperbesarkan isu Karpal Singh ini.

Pas akan cuba sedaya upaya untuk menangkis segala dakwaan dan kenyataan dari pihak media seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah. Contoh yang mudah kita boleh lihat dengan apa yang sudah terjadi di negeri Perak sekarang.Walau apapun berlaku, Pas akan tetap mempertahankan Karpal Singh dan DAP kerana bagi mereka DAP adalah "abang besar ".

Kalau hitam kata DAP, maka hitamlah. Kalau putih, maka putihlah. Memanglah benar PAS hanya berkuasa di Kelantan dan Kedah, manakala di tiga negeri lain Pas hanya diibaratkan sebagai "Pak Turut", menyokong setiap ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh DAP.

PKR pula hanyalah penumpang dalam kesemua negeri Pakatan Rakyat. Secara tak langsung DAP telah menjadi kuasa penentu yang berkuasa kepada PKR dan PAS.Takutkah PAS kepada DAP sehingga sanggup diperbudak-budakkan, diperkotak katikkan supaya terus kekal di dalam Pakatan Rakyat. Sayang sangatkah Pas pada DAP.

Adakah Pas lebih takut dan sayangkan DAP daripada Allah S.W.T. Dimanakah sinar penubuhan negara Islam Pas yang dilaung-laungkan selama ini. Adakah ulama-ulama Pas lemah dan terkulai layu selepas di pergunakan oleh DAP tanpa mampu bangkit menentang.Berkuasa betul DAP sehingga dapat mengunci mulut pemimpin-pemimpin Pas daripada menegur atau berkata sesuatu.

Mereka lebih rela mencari kesalahan dalam apa jua yang dilakukan oleh UMNO kerana bagi mereka UMNO adalah sangat keji walaupun mereka tahu ahli-ahli UMNO adalah beragama Islam. Inilah jadinya apabila memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Betapa ramai cendiakawan dalam PAS tetapi tak mampu memikirkan kesan kepada PAS. Islam bukan lagi menjadi agenda perjuangan PAS tatkala ini. Mereka hanya mahukan kerusi. Kalau dah gila kuasa beginilah jadinya.

Dan menjadi bertambah parah apabila Penasihat PKR, Anwar Ibrahim pula mengatakan beliau menolak penubuhan negara Islam. Beliau mengumumkan bahawa beliau memilih jalan moderate dimana Pas sebelum ini mengatakan moderate itu adalah sekular iaitu tolak Islam dan tolak ketuanan Melayu ke ketuanan Rakyat. Sanggupkah Pas bekerjasama dengan PKR untuk menubuhkan Negara Islam bilamana Penasihat PKR, Anwar Ibrahim secara terang-terang menolak penubuhan sebuah Negara Islam di Malaysia.

Sanggupkah Pas bekerjasama dengan kumpulan yang anti-Islam iaitu IFC yang mana rata-rata ahlinya adalah dari PKR. Sebab itulah Anwar Ibrahim sanggup mengenepikan cita-cita Pas untuk menubuhkan negara Islam Pas. Bagaimana pula dengan alim ulama dalam PKR. Masih sanggupkah bersama PKR untuk menperjuangkan Islam bilamana ketua anda sendiri yang tolak Islam.Dalam apa jua hal pun, UMNO konsisten dalam memperjuangkan syiar Islam dibumi Malaysia.

Cuma Pas dan PKR sahaja yang tidak tahu menilai dan menghargainya. DAP melalui Lim Kit Siang dan Karpal Singh sejak penubuhannya telah lama menolak Negara Islam. Manakala Anwar selepas bebas untuk membolehkan beliau berpolitik, menukar haluan PKR untuk menolak penubuhan Negara Islam. Jadi dimanakah hala tuju Pas yang sebenarnya?

Adakah Pas mahu atau masih setia dengan Pakatan Rakyat? Masih adakah hari esok buat Pas dengan negara Islamnya.

Apa gunanya Pas bekerjasama dengan Pakatan Rakyat kalau semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Dimana letaknya darjat Islam itu sendiri apabila untuk mendapatkan kuasa adalah lebih penting dari mempertahankan penubuhan Negara Islam Pas. Nasihat buat Pas, kembalilah kepangkal jalan. Sama-samalah kita renung dan fikirkan.

Friday, February 27, 2009

Pemilih di Bukit Gantang, Bukit Selambau boleh semak maklumat pengundian

Pengundi di dua kawasan pilihan raya kecil yang bakal diadakan serentak 7 April ini iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah, boleh mula menyemak maklumat pengundian mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata maklumat yang boleh disemak termasuk nama pusat mengundi dan nombor saluran mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui tiga cara, iaitu melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my, melalui SMS dan di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan di Kedah, katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Bagi perkhidmatan SMS, Ngah berkata perkhidmatan itu mula beroperasi mulai Rabu lalu sehingga 7 April nanti, dan caj sebanyak 35 sen dikenakan untuk setiap SMS yang dihantar.

Untuk menghantar SMS, pemilih berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya tersebut hanya perlu menaip, SPR jarak SEMAK jarak NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Bagi semakan dengan Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri, pemilih di Bukit Gantang boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak di talian 05-2547189 manakala pengundi di Bukit Selambau boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah di talian 04-7001313 atau 04-7001303.

Semakan itu boleh dibuat setiap hari dari 1 Mac hingga 7 April ini.

Pada 13 Feb lepas, SPR menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak, iaitu penamaan calon masing-masing pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan - Bernama

Monday, February 23, 2009

MIC bersedia letak calon tempatan di Bukit Selambau

MIC akan meletakkan seorang calon tempatan yang diyakini boleh menjalankan tugasnya dengan baik sekiranya kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kepada parti itu, kata Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Beliau berkata, antara kriteria yang sedang dipertimbangkan ialah calon itu mesti seorang yang boleh bekerja, kenal kawasan tersebut dan pandai bertutur dalam loghat Kedah supaya senang untuk mendekati masyarakat tempatan.

"Sebenarnya kawasan itu, kawasan MIC sebab kita telah bertanding empat pilihan raya di sana, jadi tidak kira calon tua atau muda, asalkan rakyat suka atau tidak (kepada calon), itu yang lebih penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biro Keanggotaan dan Pendaftaran Pengundi MIC Selangor di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini bahawa peluang BN memenangi kerusi itu lebih besar jika calon UMNO yang bertanding pada pilihan raya kecil 7 April, Samy Vellu berkata, beliau boleh cakap apa sahaja yang beliau suka dan beliau tidak dapat mengubah keputusan peringkat nasional.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, V.Arumugan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Feb lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Arumugam, 54, yang bertanding sebagai calon bebas, menewaskan calon BN, S.Krishnan daripada MIC dengan majoriti 2,362 undi.

Samy Vellu berkata, berdasarkan hasil lawatan awalnya di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil, penerimaan masyarakat terhadap BN, khususnya MIC, adalah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum lepas.

"Mereka (masyarakat) mengaku mereka telah buat silap dengan mengundi pakatan rakyat yang telah banyak berjanji kosong dan masyarakat di situ berharap bila kembali ke BN, masalah mereka boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata kemenangan seharusnya berpihak kepada BN baik di kerusi Bukit Selambau mahupun Bukit Gantang di Perak yang diadakan berikutan kematian anggota Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas pada 9 Februari lepas akibat serangan jantung.

Katanya, kira-kira 1,000 anggota pergerakan Pemuda MIC telah ke Bukit Selambau dan 900 lagi ke Bukit Gantang untuk mengatur aktiviti mereka sepanjang proses pilihan raya kecil itu nanti.

"Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak boleh menang mana-mana pilihan raya, kita akan menghadapi lebih banyak masalah untuk menyampaikan mesej kita kepada rakyat.

"Pendekatan baru kita akan memperkuatkan Pemuda dan Wanita supaya seterusnya akan mengukuhkan akar umbi dan saya yakin MIC boleh jadi parti yang lebih elok daripada dulu," katanya yang turut menyasarkan 10,000 keanggotaan baru bagi pergerakan Pemuda MIC menjelang 2010. - Bernama

Saturday, February 21, 2009

HORMATI PRNGUNDI MELAYU

Sumber: Utusan Malaysia (19 Feb 2008)

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Pengarang Rencana
Mingguan Malaysia


DALAM sejarah Barisan Nasional (BN) di Kedah, salah satu kawasan Parlimen yang tidak pernah dikuasai oleh pembangkang ialah Merbok. Bagaimanapun senario ini berubah pada pilihan raya umum lalu.

BN bukan sahaja tewas di Parlimen Merbok, malah lebih daripada itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Tanjong Dawai dan Bukit Selambau turut ‘hanyut’ ke tangan pembangkang.

Di Tanjong Dawai, calon BN ‘tersungkur’ di tangan Pas manakala di Bukit Selambau, ia babak paling menyedihkan, BN kecundang kepada calon Bebas.

Kini BN diberi ruang untuk menebus kembali kekalahan di salah satu kawasan berkenaan iaitu Bukit Selambau berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan di situ pada 7 April nanti. Di atas kertas mungkin tafsiran yang dibuat ialah ia kawasan tradisi MIC sejak empat penggal lalu.

MIC yang mewakili BN pernah bertakhta di situ selama empat penggal dan melalui MIC juga BN kehilangan kerusi berkenaan. Apa pun itu semua adalah catatan sejarah.
Dalam senario politik sekarang, soal tradisi atau ia kuota milik MIC sudah tidak harus diperhitungkan lagi tetapi persoalan yang lebih besar ialah memastikan bahawa kerusi itu kembali berada dalam genggaman BN.

Penulis yang berkesempatan membuat tinjauan politik di kawasan DUN berkenaan kelmarin, mendapati sentimen penolakan terhadap sebarang usaha untuk meletakkan sekali lagi calon daripada MIC mewakili BN adalah terlalu tinggi. Ini kerana pengundi Melayu di kawasan berkenaan beranggapan kerusi tersebut harus dikembalikan kepada UMNO yang pernah menguasainya suatu ketika dulu.

Hakikatnya, tuntutan yang dibuat bukanlah berunsur perkauman sebaliknya ia berasaskan kepada pecahan pengundi di kawasan tersebut yang menyaksikan daripada keseluruhan 35,140 pengundi, 50.2 peratus adalah pengundi Melayu, India (29.5 peratus) dan Cina (19.3 peratus).

‘‘Dalam pertemuan dengan beberapa pihak termasuk di kalangan pemimpin UMNO sendiri mereka mahu kerusi itu ditandingi oleh UMNO,’’ kata Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd. Zain.

Bagi Tajul Urus, walaupun soal kawasan tradisi mana-mana parti komponen harus dihormati namun dalam masa yang sama pertimbangan yang bijak perlu dilakukan berikutan situasi politik kini yang dianggap tidak begitu memihak kepada BN.

Oleh itu adalah jelas, jika BN berhasrat untuk menawan kembali kawasan tersebut, hak pengundi Melayu sebagai pengundi majoriti harus dihormati.

Biarpun ketika ini ada lima calon Bebas yang kesemuanya berketurunan India melahirkan hasrat untuk bertanding dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyatakan hendak meletakkan calon India namun BN tidak perlu mengikut rentak mereka. Helah PKR harus diambil kira kerana mungkin akan meletakkan calon Melayu di saat akhir.

Justeru pucuk pimpinan BN harus tegas jika berhasrat untuk merampas kerusi berkenaan. BN seharusnya tidak khuatir bahawa MIC akan merajuk atau sebaliknya.
Ia disebabkan berdasarkan situasi di lapangan, MIC sendiri mempunyai masalah untuk menarik sokongan pengundi India di Bukit Selambau.

Lebih memburukkan lagi keadaan menurut sumber, parti komponen itu di Merbok dikatakan berpecah kepada empat kumpulan. Malah sudah ada salah satu kumpulan yang bertelingkah itu telah memberi peringatan bahawa mereka tidak akan menyokong BN jika calon MIC dicalonkan.

Justeru dalam membuat keputusan ini, pucuk pimpinan BN tidak harus terperangkap dengan sentimen untuk menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak atau terlalu mengambil kira soal kuota.

Perjuangan BN di Bukit Selambau bukanlah untuk meningkatkan martabat mana-mana parti komponen, sebaliknya berteraskan kepada keazaman untuk mencapai kemenangan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, imej BN yang diwakili oleh MIC di kalangan pengundi di DUN tersebut masih rendah bukan sahaja di kalangan pengundi Melayu malah pengundi India. Ia disebabkan kepada beberapa faktor termasuklah kegagalan BN memberikan perkhidmatan yang terbaik ketika menguasai DUN tersebut.

Akibatnya, pada pilihan raya umum lalu biarpun istilah ‘tsunami’ digunakan bagi ‘menghalalkan’ kegagalan BN di Bukit Selambau tetapi fakta sebenarnya ialah pilihan raya berkenaan dijadikan pentas untuk menolak BN.

‘‘Kalau BN meletakkan calon yang betul daripada UMNO, sudah pasti pengundi Melayu akan memberi undi mereka kepada BN,’’ kata salah seorang penduduk di DUN tersebut kepada penulis.

‘Calon yang betul’ - walaupun sebutannya mudah tetapi inilah tugas sukar yang dihadapi oleh BN dalam usaha memastikan individu yang dipilih bukannya pilihan parti semata-mata tetapi lebih penting diterima oleh rakyat.

Dalam soal ini, BN perlu meneliti latar belakang setiap calon. Kriteria paling penting ialah dia harus mesra rakyat dan bukannya seorang yang apabila sudah memiliki jawatan, bak kata orang bersikap ‘melihat langit sahaja’ - ertinya sombong dengan kedudukan yang dimilikinya.

Apa yang diperkatakan bukanlah satu andaiannya tetapi inilah gambaran yang diperolehi oleh penulis. UMNO tidak boleh meletakkan pemimpin yang sombong dan hanya menemui rakyat apabila pilihan raya hendak diadakan.

Hakikatnya, bukanlah satu rahsia lagi bagaimana penduduk di kawasan Parlimen Merbok bercakap berhubung sesetengah pemimpin UMNO bahagian itu yang bukan sahaja sombong malah isteri mereka juga mempunyai sikap yang sama.

Kesudahannya apabila pilihan raya, rakyat menolak BN sebagai membalas dendam. Oleh itu kesilapan ini tidak boleh diulangi. UMNO benar-benar perlu meletakkan calon yang tepat dan diterima oleh rakyat.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata berpendapat, BN mempunyai peluang merampas kembali Bukit Selambau tetapi ia terpulang kepada sejauh mana parti itu betul dalam memilih calon.

Walaupun pada tarikh yang sama BN juga akan berhadapan dengan cabaran di Parlimen Bukit Gantang tetapi kemenangan BN di Bukit Selambau amat penting sebagai permulaan ke arah usaha parti itu bangkit semula selepas kehilangan kuasa di Kedah.

Apa pun terserahlah kepada pucuk pimpinan BN menentukannya tetapi apa yang pasti kerusi Bukit Selambau perlu dikembalikan kepada UMNO, jika tidak, percayalah peluang BN bak kata orang Kedah, ‘‘pi mai pi mai tang tu jugak.’’

Isu Bogel Eli....buka ruang kepada Pilihanraya Kecil Bukit Lanjan

`Kau menang bukan beerti kau benar, kau kalah bukan beerti kau salah. Menang dan kalah bukan sempadan untuk benar dan salah. Yang benar tetap benar walau dipertikai, yang salah tetap salah walaupun diselindungkan....’

Pembuka bicara kepada persoalan penyebaran gambar bogel ADUN Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.Dulu, aku tinggal di Damansara Damai (DD). DD ini terletak dalam kawasan DUN Bukit Lanjan yang diwakili Elizabeth Wong.

Ketika kempen PRU lalu, beliau sering meletakkan dirinya sebagai pejuang rakyat dan bebas dari sebarang isu moral.Tapi, apa dah jadi hari ini. Memang benar Elizabeth Wong tak bersalah, bukannya dia rela pun dirinya dibogelkan, diambil gambar dan kini disebar kononnya secara meluas dalam internet.

Tapi sedikit sebanyak, apa yang dia buat sebelum tidur berbogel, adakah dia main congkak sebelum tidur. Tentu ada `sesuatu yang berlaku’ sebelum dia tidur secara berbogel. Sebagai seorang yang masih bujang, melakukan `sesuatu’ itu memanglah suatu perkara yang tidak baik, yang tidak harus menjadi contoh kepada masyarakat.

Memang dia bukan beragama Islam, dia boleh buat apa sahaja. Tetapi sebagai seorang pemimpin kepada sebuah parti politik yang selama menampilkan diri sebagai sebuah parti suci murni, ia tidak seharusnya dihalalkan.Apa yang berlaku hari ini membuktikan bahawa pemimpin Pakatan Rakyat khususnya dari PKR sedang menghadapi krisis moral yang teruk dan menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan tertinggi PKR harus mengambil tindakan segera terhadap Elizabeth Wong sebagai bukti perjuangan mereka yang bersih sebagaimana yang mereka war-warkan selama ini.Mereka sering menampilkan diri sebagai ahli dan sebuah parti politik bersih dari rasuah, bersih dari isu-isu moral dan telus.

Kini masanya untuk mereka membuktikan segala dakwaan mereka selama ini benar-benar ikhlas, bukannya sandiwara politik semata-mata untuk mendapatkan undi rakyat.Mereka harus mencontohi sikap yang diambil oleh kepimpinan BN berhubung isu penyebaran video lucah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mengambil tindakan drastik melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti MCA berkuatkuasa.

Persoalan salah dan tidak tindakan penyebaran gambar bogel ini terserah kepada kebijaksaan pihak berkuasa, namun apa yang kita kesalkan ialah perlakuan ADUN terbabit.Akhir bicara, aku tak heran kalau dalam masa terdekat ini, ada pihak-pihak dari Pakatan Rakyat akan melaung-laungkan, menjerit-jerit mengatakan ia semua sandiwara BN dan UMNO.

Ia semua kerja jahat UMNO dan BN. Ini semua bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan `Pakatan Rakyat @ Rapuh’ di Selangor. Kita tunggu dan lihat. Sebelum aku mengundurkan diri,terus terang aku katakan bahawa gambar bogel Elizabeth ini, aku tak jumpa pun dalam internet. Adakah ia semata-mata untuk menimbulkan isu baru, untuk menutup kelemahan Pakatan Rapuh sejak kebelakangan ini.

Tepuk dada, tanyalah hati.

Tuesday, February 17, 2009

Pilihan raya serentak di tiga Bukit?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan serentak dengan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau pada 7 April ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, berikutan itu pihaknya kini sedang menunggu laporan rasmi Pengarah SPR Selangor berhubung peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Kata Abdul Aziz, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat rasmi berhubung peletakan jawatan Elizabeth yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

Jelas beliau, pada dasarnya SPR tiada masalah mengadakan pilihan raya kecil serentak di ketiga-tiga kerusi itu pada 7 April ini.

"Sehingga saat ini saya belum dapat maklumat rasmi, cuma khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kawan-kawan yang menyatakan wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meletakkan jawatan selaku Exco dan ADUN. Prosedurnya, bagi jawatan Exco beliau kena maklumkan kepada Menteri Besar dan bagi ADUN Bukit Lanjan dia kena maklumkan dan tulis surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri. Speaker akan maklumkan kepada SPR," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat SPR yang Ke-690 di Palm Resorts di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Elizabeth menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran penyebaran gambar bogelnya di Internet.

Pilihan raya Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan penyandangnya, Roslan Shahrum daripada Pas meninggal dunia awal 9 Februari lalu.

Kerusi DUN Bukit Selambau pula dikosongkan wakil rakyatnya, V. Arumugam daripada PKR yang meletakkan jawatan pada hari yang sama.

Tambah Abdul Aziz, bagi kerusi DUN Bukit Lanjan, pihaknya sedang meneliti semua aspek dengan mengikut peruntukan undang-undang yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu.

"Kalau semua dokumen dan aspek-aspek yang ditetapkan dipatuhi, kita SPR tiada masalah untuk mengadakan tiga pilihan raya kecil tersebut pada 7 April ini," katanya.

Beliau menjelaskan, tarikh 7 April ditentukan oleh SPR untuk hari pembuangan undi dalam pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau tanpa didorong mana-mana parti yang bertanding.

"Bagi kami setiap parti adalah pelangggan. Parti-parti itu harus dilayan seadil-adilnya dengan harapan mereka puas hati dengan apa yang dilaksanakan SPR," katanya.

Abdul Aziz memberitahu, SPR memperuntukkan RM1 juta, iaitu masing masing RM600,000 dan RM400,000 untuk pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. Beliau mahu Pengarah SPR Perak dan Kedah mencontohi Pilihan Raya Kuala Terengganu baru-baru ini yang disifatkan terbaik, bersih dan aman serta mendapat pujian Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan zainal Abidin.

Arumugam Letak Jawatan bukan diugut BN

SUNGAI PETANI — Individu yang menaja V.Arumugam pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, menafikan peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau itu disebabkan oleh ugutan pihak tertentu khususnya Barisan Nasional (BN).

Zamil Ibrahim yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mendakwa, Arumugam tidak pernah ditawarkan sebarang imbuhan sekiranya bersetuju untuk meletak jawatan, sebaliknya beliau berbuat demikian atas sebab lain.

“Selepas sebulan menjadi Exco, Arumugam mengadu tidak selesa serta ’dianak tirikan’ kerajaan negeri, jadi saya nasihatkan dia supaya keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan sebab itulah dia letak jawatan.

“Dia (Arumugam) menceritakan semua masalah kepada saya kerana saya bertanggungjawab membiayai sepenuhnya perbelanjaan beliau dari segi deposit calon, kos berkempen serta menyediakan borang pencalonan pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.