Saturday, February 21, 2009

HORMATI PRNGUNDI MELAYU

Sumber: Utusan Malaysia (19 Feb 2008)

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Pengarang Rencana
Mingguan Malaysia


DALAM sejarah Barisan Nasional (BN) di Kedah, salah satu kawasan Parlimen yang tidak pernah dikuasai oleh pembangkang ialah Merbok. Bagaimanapun senario ini berubah pada pilihan raya umum lalu.

BN bukan sahaja tewas di Parlimen Merbok, malah lebih daripada itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Tanjong Dawai dan Bukit Selambau turut ‘hanyut’ ke tangan pembangkang.

Di Tanjong Dawai, calon BN ‘tersungkur’ di tangan Pas manakala di Bukit Selambau, ia babak paling menyedihkan, BN kecundang kepada calon Bebas.

Kini BN diberi ruang untuk menebus kembali kekalahan di salah satu kawasan berkenaan iaitu Bukit Selambau berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan di situ pada 7 April nanti. Di atas kertas mungkin tafsiran yang dibuat ialah ia kawasan tradisi MIC sejak empat penggal lalu.

MIC yang mewakili BN pernah bertakhta di situ selama empat penggal dan melalui MIC juga BN kehilangan kerusi berkenaan. Apa pun itu semua adalah catatan sejarah.
Dalam senario politik sekarang, soal tradisi atau ia kuota milik MIC sudah tidak harus diperhitungkan lagi tetapi persoalan yang lebih besar ialah memastikan bahawa kerusi itu kembali berada dalam genggaman BN.

Penulis yang berkesempatan membuat tinjauan politik di kawasan DUN berkenaan kelmarin, mendapati sentimen penolakan terhadap sebarang usaha untuk meletakkan sekali lagi calon daripada MIC mewakili BN adalah terlalu tinggi. Ini kerana pengundi Melayu di kawasan berkenaan beranggapan kerusi tersebut harus dikembalikan kepada UMNO yang pernah menguasainya suatu ketika dulu.

Hakikatnya, tuntutan yang dibuat bukanlah berunsur perkauman sebaliknya ia berasaskan kepada pecahan pengundi di kawasan tersebut yang menyaksikan daripada keseluruhan 35,140 pengundi, 50.2 peratus adalah pengundi Melayu, India (29.5 peratus) dan Cina (19.3 peratus).

‘‘Dalam pertemuan dengan beberapa pihak termasuk di kalangan pemimpin UMNO sendiri mereka mahu kerusi itu ditandingi oleh UMNO,’’ kata Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd. Zain.

Bagi Tajul Urus, walaupun soal kawasan tradisi mana-mana parti komponen harus dihormati namun dalam masa yang sama pertimbangan yang bijak perlu dilakukan berikutan situasi politik kini yang dianggap tidak begitu memihak kepada BN.

Oleh itu adalah jelas, jika BN berhasrat untuk menawan kembali kawasan tersebut, hak pengundi Melayu sebagai pengundi majoriti harus dihormati.

Biarpun ketika ini ada lima calon Bebas yang kesemuanya berketurunan India melahirkan hasrat untuk bertanding dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyatakan hendak meletakkan calon India namun BN tidak perlu mengikut rentak mereka. Helah PKR harus diambil kira kerana mungkin akan meletakkan calon Melayu di saat akhir.

Justeru pucuk pimpinan BN harus tegas jika berhasrat untuk merampas kerusi berkenaan. BN seharusnya tidak khuatir bahawa MIC akan merajuk atau sebaliknya.
Ia disebabkan berdasarkan situasi di lapangan, MIC sendiri mempunyai masalah untuk menarik sokongan pengundi India di Bukit Selambau.

Lebih memburukkan lagi keadaan menurut sumber, parti komponen itu di Merbok dikatakan berpecah kepada empat kumpulan. Malah sudah ada salah satu kumpulan yang bertelingkah itu telah memberi peringatan bahawa mereka tidak akan menyokong BN jika calon MIC dicalonkan.

Justeru dalam membuat keputusan ini, pucuk pimpinan BN tidak harus terperangkap dengan sentimen untuk menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak atau terlalu mengambil kira soal kuota.

Perjuangan BN di Bukit Selambau bukanlah untuk meningkatkan martabat mana-mana parti komponen, sebaliknya berteraskan kepada keazaman untuk mencapai kemenangan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, imej BN yang diwakili oleh MIC di kalangan pengundi di DUN tersebut masih rendah bukan sahaja di kalangan pengundi Melayu malah pengundi India. Ia disebabkan kepada beberapa faktor termasuklah kegagalan BN memberikan perkhidmatan yang terbaik ketika menguasai DUN tersebut.

Akibatnya, pada pilihan raya umum lalu biarpun istilah ‘tsunami’ digunakan bagi ‘menghalalkan’ kegagalan BN di Bukit Selambau tetapi fakta sebenarnya ialah pilihan raya berkenaan dijadikan pentas untuk menolak BN.

‘‘Kalau BN meletakkan calon yang betul daripada UMNO, sudah pasti pengundi Melayu akan memberi undi mereka kepada BN,’’ kata salah seorang penduduk di DUN tersebut kepada penulis.

‘Calon yang betul’ - walaupun sebutannya mudah tetapi inilah tugas sukar yang dihadapi oleh BN dalam usaha memastikan individu yang dipilih bukannya pilihan parti semata-mata tetapi lebih penting diterima oleh rakyat.

Dalam soal ini, BN perlu meneliti latar belakang setiap calon. Kriteria paling penting ialah dia harus mesra rakyat dan bukannya seorang yang apabila sudah memiliki jawatan, bak kata orang bersikap ‘melihat langit sahaja’ - ertinya sombong dengan kedudukan yang dimilikinya.

Apa yang diperkatakan bukanlah satu andaiannya tetapi inilah gambaran yang diperolehi oleh penulis. UMNO tidak boleh meletakkan pemimpin yang sombong dan hanya menemui rakyat apabila pilihan raya hendak diadakan.

Hakikatnya, bukanlah satu rahsia lagi bagaimana penduduk di kawasan Parlimen Merbok bercakap berhubung sesetengah pemimpin UMNO bahagian itu yang bukan sahaja sombong malah isteri mereka juga mempunyai sikap yang sama.

Kesudahannya apabila pilihan raya, rakyat menolak BN sebagai membalas dendam. Oleh itu kesilapan ini tidak boleh diulangi. UMNO benar-benar perlu meletakkan calon yang tepat dan diterima oleh rakyat.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata berpendapat, BN mempunyai peluang merampas kembali Bukit Selambau tetapi ia terpulang kepada sejauh mana parti itu betul dalam memilih calon.

Walaupun pada tarikh yang sama BN juga akan berhadapan dengan cabaran di Parlimen Bukit Gantang tetapi kemenangan BN di Bukit Selambau amat penting sebagai permulaan ke arah usaha parti itu bangkit semula selepas kehilangan kuasa di Kedah.

Apa pun terserahlah kepada pucuk pimpinan BN menentukannya tetapi apa yang pasti kerusi Bukit Selambau perlu dikembalikan kepada UMNO, jika tidak, percayalah peluang BN bak kata orang Kedah, ‘‘pi mai pi mai tang tu jugak.’’

No comments:

Post a Comment